Rabu, 25 November 2015

3 bekalan untuk menjadi muslimah sejati


wanis
Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang panjang dan penuh dengan dugaan. Allah telah menentukan bahawa perjalanan kehidupan setiap manusia hanya berakhir pada dua destinasi iaitu syurga atau neraka. Allah telah mencipta manusia masing-masing sesuai dengan peranannya. Kebiasaan bagi seseorang musafir yang ingin menempuh suatu perjalanan yang jauh adalah membawa bekal yang sesuai dan mencukupi sehingga sampai ke destinasi dengan selamat. 

Wanita adalah makhluk Allah yang dicipta sebagai pasangan kepada lelaki dan mempunyai peranan yang sangat penting dalam hidupnya. Perjalanan menuju ke destinasi syurga akan menuntut seorang wanita untuk berusaha menjadi seorang wanita muslimah yang sejati. Layaknya seorang penunggang kuda yang mahir, menunggang kudanya untuk memudahkannya menuju ke destinasi dengan selamat, seorang pemandu kereta memilih untuk memandu kereta dalam bermusafir dan begitu juga wanita selayaknya memilih untuk menjadi muslimah sejati supaya selamat sampai ke destinasi syurga yang diimpikan. 

Bekalan pertama: Menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dan cara hidup
Namun begitu, perjalanan yang sangat jauh ini memerlukan bekal yang mencukupi dan sesuai bagi seorang muslimah. Lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini yang menyaksikan muslimah-muslimah diserang dengan pelbagai ancaman yang boleh menggugat jati diri seorang wanita muslimah di sepanjang perjalanannya. Oleh itu bekalan pertama yang harus ada pada seorang muslimah adalah bekalan taqwa seperti yang difirmankan Allah dalam surah Al Baqarah ayat 197,

“Berbekallah dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa.”
Bekalan taqwa ini akan memastikan setiap hati muslimah di dalam perjalananya sentiasa menjadikan Allah sebagai satu-satunya tempat memohon perlindungan dan pertolongan. Ketika hati wanitanya sentiasa ingin dekat dengan Allah dan ingin tahu apakah peranannya, apakah sumbangannya dalam kehidupan ini maka rujukan utamanya adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Hal ini seumpama seorang pengembara yang tidak tahu arah jika difikirkan dengan kemampuan akalnya yang terbatas maka Al-Quran dan As-Sunnah menjadi panduan sepanjang perjalanannya. Lebih jelas lagi,untuk menjadi seorang muslimah sejati hendaklah rajin membaca Al-Quran, menghafal ayat-ayatnya, mengkaji dan meneliti maksud ayat-ayatnya serta mengamalkannya di dalam kehidupan. Tidaklah cukup bagi seorang wanita yang mahu bergelar muslimah sejati hanya pandai membaca Al-Quran tetapi tidak mengamalkannya di dalam kehidupan kerana ayat-ayat Allah bukanlah sekadar untuk dibaca dan dihafal tetapi hendaklah dijadikan amalan dan sistem kehidupannya.

Bekalan kedua: Menjadikan wanita yang beriman sebagai tauladan kehidupan
Muslimah sejati adalah wanita yang sentiasa menjadikan wanita-wanita baik seperti isteri-isteri nabi, sahabiah dan wanita beriman sebagai teladan hidupnya. Sesungguhnya sejarah telah membuktikan bahawa wanita-wanita yang bertaqwa akan sentiasa berjaya di dalam hidupnya. Ukuran kejayaan seorang wanita bukanlah seperti yang diukur oleh neraca barat. Barat hanya melihat wanita yang bekerjaya hebat, mahir memimpin setara dengan kepimpinan lelaki dan bebas melakukan apa sahaja kehendaknya sebagai wanita yang berjaya dan bahagia. Sebaliknya ukuran kejayaan seorang wanita dalam Islam dilihat daripada iman dan akhlaknya.
Wanita yang bergelar muslimah sejati akan sentiasa dikurniakan dengan pasangan yang juga soleh dan baik seperti yang dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran:
"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (surga)." (Surah An-Nûr ayat 26)

Kisah Siti Hajar, isteri nabi Ibrahim seharusnya dijadikan tauladan dalam hidup wanita yang ingin bergelar sebagai muslimah sejati. Siti Hajar bersama anaknya yang masih kecil Ismail ditinggalkan oleh suaminya, Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir tanpa makanan dan minuman. Namun Siti Hajar merelakan tindakan suaminya tanpa banyak soal setelah mengetahui bahawa suaminya bertindak atas perintah Allah. Apa yang tersemat jauh di lubuk hati Siti Hajar adalah keyakinan yang sangat tinggi bahawa Allah akan melindunginya dan menjanjikan kebaikan untuk diri dan keluarganya hatta tindakan Nabi Ibrahim tidak menjelaskan apa-apa selain memberitahu itu hanya perintah Allah.

Jelaslah bahawa sikap Siti Hajar adalah tauladan yang sepatutnya dicontohi oleh muslimah pada hari ini bahawa apa sahaja perintah Allah mestilah diyakini terlebih dahulu tanpa mempersoalkan terlalu banyak perkara kerana Allah lah yang Maha Mengetahui pengakhiran baik atau buruk makhluk ciptaan Nya. Kisah Siti Hajar ini menunjukkan layaklah wanita beriman seperti Siti Hajar dijadikan pasangan seorang nabi seperti Nabi Ibrahim yang merupakan salah seorang rasul ulul azmi.

Mungkin kurang didengari kisah muslimah sejati yang melahirkan seorang tokoh bernama Sayid Qutb, penulis tafsir Al-Quran Fi Zilal. Pemikiran Sayid Qutb yang dilahirkannnya menjadi pemikiran seorang lelaki yang boleh menggoncang dunia dengan tafsiran ayat-ayat Al-Quran sangat menusuk hati. Dikisahkan bahawa ibu Sayid Qutb ketika mengandungkannya, tidak pernah mendengar lagu-lagu dan nyanyian yang melalaikan selain ayat-ayat Al-Quran yang didekatkan kepada kandungannya sehingga melahirkan Sayid Qutb ke dunia.
Inilah ukuran –ukuran Islam ke atas kejayaan seorang wanita yang bergelar muslimah sejati.Wanita yang berjaya adalah wanita yang terpelihara sehingga layak menjadi pasangan kepada lelaki yang soleh dan melahirkan anak- anak perempuan yang soleh serta anak- anak lelaki yang mampu memimpin dunia. Bukan wanita yang berkerjaya tetapi menjadi pasangan lelaki yang tidak beriman dan melahirkan anak- anak yang tidak beriman dan tidak mampu memimpin orang lain untuk menjadi baik.

Bekalan ketiga: Menuntut ilmu yang berguna dan peka dengan isu semasa
Meneruskan perjalanan sebagai seorang muslimah, hendaklah setiap wanita melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu yang berguna sesuai dengan peranannya sebagai seorang anak perempuan kepada keluarganya, isteri dan seorang ibu. Islam tidak pernah menghalang wanita untuk menuntut ilmu biarpun urusan keluar rumah untuk menuntut ilmu dikenakan beberapa syarat yang ketat seperti menutup aurat serta menjaga akhlak dan ikhtilat. Ilmu utama seperti ilmu agama, urusan memimpin rumah tangga dan mendidik anak hendaklah sentiasa menjadi keutamaan seorang muslimah di samping ilmu-ilmu keduniaan yang lain.

Muslimah sejati juga perlu peka dengan isu semasa terutamanya gerakan-gerakan yang mengancam keimanan seorang wanita terhadap Allah seperti gerakan-gerakan pembebasan wanita yang dipelopori oleh tokoh-tokoh yang berasal dari barat. Serangan-serangan media oleh musuh Islam yang mahu melihat wanita Islam membuka aurat dengan pelbagai fesyen pakaian yang tidak menutup aurat dan nyanyian yang melalaikan juga harus sentiasa dielakkan. Hindarilah diri daripada perjuangan-perjuangan kumpulan wanita yang salah faham terhadap Islam dan menuduh hukum syariat Allah sebagai satu ketidakadilan pada wanita hanya semata-mata mengikut nafsu kewanitaannya.

Oleh itu, wahai wanita muslimah sekalian, persiapkanlah diri dengan bekal yang terbaik dalam menempuh perjalanan yang masih panjang dan penuh dengan ranjau ini. Yakinlah dengan janji Allah bahawa Allah akan menunjukkan jalan kepada orang-orang yang berusaha menuju ke arah Nya kerana sesungguhnya lelaki atau wanita, kedua-duanya adalah makhluk Allah yang sama darjatnya di sisi Allah dan yang membezakanya hanyalah taqwa.

Umar bin Khathab pernah berkata, “Pada masa jahiliyah, wanita itu tak ada harganya bagi kami. Sampai akhirnya Islam datang dan menyatakan bahwa wanita itu sederajat dengan laki-laki.”
Wallah hu alam bis sawab… 

sumber: http://www.ismaweb.net/2014/09/3-bekalan-untuk-menjadi-muslimah-sejati/

Tidak ada komentar:

Posting Komentar